Nama

NORIZAN BINTI SULAIMAN
(D20102046231)
GROUP : ELCO7


Thursday 24 November 2011

ADAB-ADAB DENGAN GURU










Di dalam Islam kedudukan guru adalah amat tinggi. Guru merupakan pembimbing dan penasihat umat. Jika tiada guru maka manusia akan menjadi haiwan lantaran tidak ada pengajaran dan bimbingan. Oleh kerana itu Islam sangat mengambil berat tentang guru. Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasul, sesiapa yang memuliakan Rasul bererti memuliakan Allah dan sesiapa memuliakan Allah syurgalah tempat kediamannya. Sebaliknya jika seseorang menderhakai guru bererti ia menderhakai Rasul. Barang siapa yang menderhakai Rasul bererti ia memurkai Allah. Sesiapa yang memurkai Allah maka nerakalah tempatnya. Oleh kerana itu seorang pelajar mestilah memelihara adab-adab bersama guru.

Adab-adabnya antara lain adalah seperti berikut:
1. Memberi salam dan sentiasa hormat kepada guru.
2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang.
3. Jika ingin bertanya minta izin terlebih dahulu.
4. Cari masa yang sesuai untuk bertanya.
5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru.
6. Hindari daripada menyinggung perasaan guru.
7. Memberi bantuan kepada guru apa yang dapat dibantu.
8. Lakukanlah apa yang paling disenangi oleh guru.
9. Bercakap dengan baik dengan guru, dengan menggunakan bahasa yang baik.
10. Tidak meninggikan suara semasa bercakap dengan guru.
 
Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.

Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu.

Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).

Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.

Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.

Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.

Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.

Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.


Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.

Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.

Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)


Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.









Kelebihan beradab dengan guru :-

- Hidup diberkati oleh ALLAH S.W.T
- Ilmu yang diperolehi mendapat berkat dan bermakna
- Hidup akan berjaya









Keburukan tidak beradab dengan guru :-
 
- Dibenci oleh ALLAH S.W.T dan juga orang lain
- Ilmu yang diperolehi tidak berkat
- Menjadi hilang tumpuan dan pedoman
- Tidak berjaya dalam hidup















ADAB-ADAB BERGAUL DENGAN RAKAN



Adab-adab bergaul dengan rakan ialah :-

-Gunakan bahasa yang baik
- Bergaul dengan mesra
- Memberi pertolongan dengan ikhlas 
- Elakkan bertengkar dan bergaduh


Dalam kehidupan seharian, kita sering bergaul bersama rakan-rakan dan jiran tetangga. Kadang-kadang kita bertegur sapa dengan orang yang tidak kita kenali. Contohnya ketika menunggu bas. Sekiranya pertemuan singkat itu dilanjutkan, lama-kelamaan orang itu akan menjadi kawan kita. Walaubagaimanapun, kita perlu ingat adab dan tatatertib ketika bergaul.

Selain itu, kita tidak boleh malu menegur kesalahan kawan. Mungkin dia melakukannya tanpa disedari. Apabila kawan meminta maaf di atas kesilapannya, kita mestilah sentiasa bersedia memaafkannya. Rasulullah SAW tidak pernah berdendam dengan orang lain. Baginda tetap berbuat baik walaupun kepada orang yang selalu menghinanya

Jika kawan kita sakit, kita perlu menziarahinya dan memberi nasihat serta kata semangat kepadanya agar dia mampu menghadapi ujian dengan sabar. Berdoalah agar dia cepat sembuh. Kita juga mestilah menziarahi kenalan kita yang meninggal dunia atau sekurang-kurangnya menyembahyangkan jenazah dan menyedekahkan al-Fatihah kerana itulah bakti terakhir kita kepadanya.

Kesan beramal dengan adab bergaul dengan rakan :

- Mendapat pahala
- Mengeratkan hubungan
- Hidup dengan harmoni
- Mendapat ramai kawan








Akibat tidak mengamal adab bersama rakan :


- Mendapat malu
- Dibenci oleh rakan
- Disisih oleh rakan
- Hidup tidak aman


















 

Sunday 13 November 2011

ADAB TERHADAP IBUBAPA

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم



Apa maksud beradab kepada ibu bapa? Maksudnya ialah bersopan santun dan berbuat baik kepada ibu bapa dalam pertuturan, perbuatan dan tingkah laku. Islam mewajibkan umatnya supaya beradab kepada ibu bapa. Maka, berdosa besar kepada mereka yang menderhakai ibu bapa. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Luqman:14.
Maksudnya: "Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu."

Macammana cara kita perlu beradab kepada ibu bapa?
Pertamanya, kita mestilah mengasihi dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Doa anak-anak soleh untuk ibu bapa sangat berharga. Bukannya susah nak mendoakan mereka, cuma kita perlukan sedikit masa saja. Contohnya kita boleh doakan mereka lepas solat dan sebelum tidur.
Keduanya pula, sebagai anak kita perlu mentaati perintah mereka selagi perintah itu tidak bertentangan dengan syarak. Perintah Allah kita wajib patuh. Begitu juga perintah kedua ibu bapa kita. 
Ketiga, sebagai anak jagalah perasaan ibubapa kita. Mereka ni sensitif tau kalau kita 'ter' atau sengaja cakap sesuatu yang buat mereka terasa hati. Kalau kita boleh jaga hati member2 dan orang2 kat sekeliling kita, kenapa kita tak boleh nak jaga perasaan ibubapa kita? Padahal ibubapa lah yang paling dekat ngan kita. Bila bercakap ngan mereka, cakap lah sopan santun, rendahkan suara dan janganlah bantah cakap mereka tu. 
Keempat, sahutlah panggilan mereka dengan segera. Janganlah kita berpura-pura tidak mendengar atau sengaja tidak menyahut panggilan mereka. Ini akan membuatkan ibubapa berkecil hati. Pandanglah wajah mereka apabila bercakap.
Kelima, gembirakanlah hati ibubapa. Selalulah mendengar cakap mereka dan menyenangkan hati mereka. Membantu ibubapa juga dapat menggembirakan hati ibubapa.


ADAB MAKAN DALAM ISLAM

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Adab sebelum makan


1. Makanan yang halal

Hendaknya berusaha mendapatkan makanan yang halal dan baik serta tidak mengandung unsur-unsur yang haram, ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah diantara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu ....” (Surah al-Baqarah, 172)

2. Betulkan niat

Niatkan tujuan dalam makan dan minum untuk menguatkan badan, agar dapat melakukan ibadah dan hal-hal lain yang berguna



                                                  Cuci tangan sebelum dan selepas makan

3. Mencuci tangan 

Mencuci kedua tangan sebelum makan, jika dalam keadaan kotor atau ketika belum yakin dengan kebersihannya. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila Rasulullah SAW hendak tidur sedangkan baginda dalam keadaan junub, maka baginda berwuduk terlebih dahulu dan apabila hendak makan, baginda mencuci ke dua tangannya terlebih dahulu.” (Hadis riwayat Ahmad)

4. Hidangkan makanan

Meletakkan hidangan makanan di atas sutrah atau seprah (alas yang biasa dipakai untuk meletakkan makanan) di atas lantai, tidak diletakan di atas meja makan, kerana hal itu lebih mendekatkan pada sikap tawaduk. Hal ini sebagaimana hadis dari Anas r.a., dia berkata “Rasulullah SAW tidak pernah makan diatas meja makan dan tidak pula di atas sukurrujah.” (Hadis riwayat Bukhari no. 5415)






                                                                                  Duduk dengan tertib




5. Duduk dengan tertib

Hendaknya duduk dengan tawaduk, iaitu duduk di atas kedua lututnya atau duduk di aras punggung kedua kaki atau berposisi dengan kaki kanan ditegakkan dan duduk diatas kaki kiri. Sebagaimana posisi duduk Rasulullah SAW yang didasari dengan sabda baginda, “Aku tidak pernah makan sambil bersandar, aku hanyalah seorang hamba, aku makan sebagaimana layaknya seorang hamba makan dan aku pun duduk sebagaimana layaknya seorang hamaba duduk.” (Hadis riwayat Bukhari no.5399)

6. Bersyukur dengan apa yang dihidangkan

Hendaknya merasa syukur dan redha dengan makanan apa saja yang telah dihidangkan dantidak mencela makanan, berdasarkan hadis Rasulullah. Dari Abu Hurairah r.a., “Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan apabila baginda berselera, baginda memakannya. Sedangkan jika tidak suka (tidak berselera), maka baginda meninggalkannya.” (Hadis riwayat Bukhari no. 3563)

7. Makan berteman

Hendaknya makan bersama-sama dengan orang lain, baik tamu, keluarga, kerabat, anak-anak atau pembantu, sebagaimana hadis Rasul Rasulullah SAW yang bermaksud, “Berkumpulah kalian dalam menyantap makanan kalian (bersama-sama), kerana di dalam makan bersama itu akan memberikan berkah kepada kalian.” (Hadis riwayat Abu Daud no. 3764)

                                                                                                                            


Adab ketika makan

1. Mulakan dengan ucapan ‘basmalah’ 

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW dari Aisyah r.a. yang bermaksud, “Apabila salah seorang di antara kalian hendak makan, maka ucapkanlah ‘bismillah’ dan jika ia lupa untuk mengucapkan ‘bismillah’ di awal makan, maka hendaknya ia mengucapkan ‘bismillah awwaluhu wa akhirahu’.”(Hadis riwayat Abu Daud no 3767 dan at-Tirmidzi)

2. Gunakan tangan kanan (tangan kiri dilarang)

Dari Salamah bin al-Akwa’ r.a., seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah SAW. Maka baginda berkata: “Makanlah dengan tangan kananmu.” Lelaki itu berkata: “Aku tak boleh.” Baginda menjawab, “Engkau tidak boleh!? Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak!!” Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut. (Hadis riwayat Muslim)

Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya.” (Hadis riwayat Muslim)

3. Galakkan menggunakan 3 jari

Digalakkan makan dengan menggunakan tiga jari tangan kanan, menyedikitkan suapan, memperbanyak kunyahan, makan dengan apa yang terdekat darinya dan tidak memulai dari bahagian tengah piring.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Wahai anak muda, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari apa-apa yang dekat denganmu.” (Hadis riwayat Bukhari no.5376) dan sabda baginda lagi, “Keberkahan itu turun di tengah-tengah makanan, maka makanlah dari pinggir piring dan janganlah memulai dari bahagian tengahnya.” (Hadis riwayat Abu Daud no. 3772)

Dari Ka’ab bin Malik r.a., “Aku melihat Rasulullah SAW makan menggunakan tiga jari.... (ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah).” (Hadis riwayat Muslim)

4. Makan yang berhampiran

Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah SAW dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah SAW berkata : “Wahai budak, ucapkan ‘bismillah’, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Mula makan dari tepi (pinggir)

Dari Ibn Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

6. Larangan mencela makanan

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: “Tidak sekali-kali Rasulullah SAW mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Anjuran bernafas 3 kali dan tidak meniup makanan/minuman

Tidak meniup pada makanan yang masih panas dan tidak memakannya hingga menjadi lebih dingin. Tidak boleh juga untuk meniup pada minuman yang masih panas, apabila hendak bernafas maka dianjurkan bernafas di luar gelas sebanyak 3 kali, sebagaimana riwayat Anas bin Malik r.a.,“Rasulullah SAW jika minum, baginda bernafas (meneguknya) tiga kali (bernafas di luar gelas).”(Hadis riwayat Bukhari)

Dari Anas bin Malik r.a. beliau mengatakan, “Ketika Rasulullah SAW minum baginda mengambil nafas di luar wadah air minum sebanyak tiga kali.” Dan baginda bersabda, “Hal itu lebih segar, lebih selesa dan lebih nikmat.” Anas mengatakan, “Oleh kerana itu ketika aku minum, aku bernafas tiga kali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda dari Abu Said al-Khudri r.a., yang bermaksud, “Rasulullah SAW melarang untuk meniup (dalam gelas) ketika minum.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi no.1887)

8. Kutip/pungut makanan jatuh

Memungut makanan yang jatuh ketika saat makan sebagai cermin rasa syukur kita. Apabila ada sesuatu dari makanan yang terjatuh, maka hendaknya dibersihkan bahagian yang kotornya kemudian memakannya.

Dari Jabir r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberkatan.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain, dari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila ada sesuap makanan dari salah seorang di antara kalian terjatuh, maka hendaklah dia membersihkan bahagiannya yang kotor, kemudian memakannya dan jangan membiarkannya untuk syaitan.” (Hadis riwayat Ahmad)

9. Tidak bersandar ketika makan

Dari Abi Juhaifah Wahb bin Abdullah r.a. berkata : Rasullah SAW bersabda, “Aku tidak makan sambil bersandar.” (Hadis riwayat Bukhari)






Adab sesudah makan

1. Makruh makan terlalu banyak atau terlalu sikit 

Hendaknya menghindari diri dari kenyang yang melampaui batas. Menghentikan makan dan minum sebelum sampai kenyang, hal ini semata-mata meneladani Rasulullah SAW, yang menghindari (mengelakkan) diri dari kekenyangan yang menyebabkan sakit perut yang akut dan kerakusan dalam hal makan yang dapat menghilangkan kecerdasan.

Dari Miqdam bin Ma’di Karib, beliau menegaskan bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada bejana yang diisi oleh manusia yang lebih buruk dari perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Maka jika tidak mahu (jika tidak ada pilihan lain), maka ia dapat memenuhi perutnya, sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minum, sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah no. 3349)

2. Jilat jari setelah selesai 

Hendaknya menjilati jari-jemarinya sebelum mencuci tangannya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “apabila salah seorang di antara kalian telah selesai makan, maka janganlah ia mengusap tangannya hingga ia menjilatnya atau meminta dijilatkan (kepada isterinya atau anaknya).” (Hadis riwayat Bukhari no. 5456)

Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau dijilatkan (oleh orang lain).” (Hadis riwayat Muslim)






3. Memuji Allah

Hendaknya memuji Allah Taala setelah makan dan minum, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “barangsiapa sesudah selesai makan berdoa: “Alhamdulillaahilladzi ath‘amani haadzaa wa razaqaniihi min ghoiri haulin minni walaa quwwatin”, niscaya akan diampuni dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Abu Daud no 4023)

4. Doa setelah selesai makan

Dari Abi Umamah r.a., aRasulullah SAW apabila selesai makan menyebut, “Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi’n wa la mustaghnan ‘anhu rabbana.”(Hadis riwayat Bukhari)

Dari Muad bin Anas r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang selesai makan, kemudian menyebut, “Alhamdulillaahilladzi ath‘amani haadzaa wa razaqaniihi min ghoiri haulin minni walaa quwwatin”, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

5. Berkumur atau bersugi

Membersihkan sisa-sisa makanan yang ada di sela-sela giginya, dan berkumur untuk membersihkan mulutnya.




Doa sebelum dan selapas makan


DEFINISI ADAB

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Adab


  • Tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus, kesopanan
    Ayat: dia seorang yang tinggi adabnya; kami berbual-bual juga dan masing-masing bercermat menjaga adab, supaya tidak berlaku langgar bahasa;


  • 2. Cara seseorang berkelakuan dalam sesuatu situasi tertentu
    Ayat: adab pergaulan; adab makan; adab tertib budi bahasa dan tingkah laku (yang halus dan sopan); balik adabsastera lama tiada adab, biadab, kurang sopan; ilmu adab pengetahuan mengenai buruk baik bagi kelakuan manusia (budi bahasa dan budi pekertinya);

    3. Beradab mempunyai (menunjukkan) adab, berbudi bahasa, bersopan
    Ayat: kelakuannya seperti orang tidak adab;

    4. Telah maju tingkat kehidupan (jasmani dan rohani), bertamadun
    Ayat: bangsa-bangsa yang adab; mengadabi beradab (bersopan, berbudi bahasa) terhadap orang lain, menghormati


    Adab-adab dalam Islam Tahun 1

    سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

    Setiap amalan dalam Islam terdapat beberapa peraturan dan adab-adab yang perlu dipatuhi untuk menyempurnakan amalan tersebut. Tanpa dipatuhi adab-adab yang telah digariskan Islam menjadikan amalan tersebut cacat dan tidak sempurna. Oleh itu untuk menjadikan ibadah dan amalan harian kita sempurna maka perlulah mematuhi beberapa adab-adab yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.


    Antara adab-adab tersebut adalah:

    1) Adab Makan
    2) Adab Terhadap Ibu Bapa
    3) Adab Bergaul dengan Rakan
    4) Adab dengan Guru


    Testing

    Adab-adab Tahun 1